PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa sebarang bentuk siasatan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dilakukan secara adil dan terbuka, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Perdana Menteri itu juga menegaskan, ia termasuk siasatan terhadap mana-mana pihak yang akan dibuat dengan berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Sehubungan itu, katanya, desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak sepatutnya berlaku. "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota kabinet menilai baik titah Majlis Raja-Raja supaya siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan langkah-langkah proaktif telah diambil bagi menangani isu berkenaan. "Kerajaan juga mengambil berat dan menghormati titah Majlis Raja-Raja. Oleh itu kestabilan ekonomi negara, pemulihan nilai mata wang Ringgit, keharmonian antara kaum dan pengurangan kos beban rakyat menjadi fokus untuk kerajaan. "Segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan pada masa terdekat," katanya menerusi kenyataan media, Khamis. Kenyataan media itu dikeluarkan selepas Majlis Raja-Raja pada Selasa menitahkan supaya siasatan terhadap 1MDB diselesaikan segera dan pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya. Naib Presiden Umno berkata pada masa ini kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang 1MDB dan ia disambut baik oleh pelabur dalam serta luar negara. Katanya, dalam masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang itu melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut akan dibentangkan. "Diharapkan tiada pihak yang menangguk di air keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani semua isu yang dipolemikkan.