KUALA LUMPUR: Malaysia dan China sedang mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan lebih banyak laluan penerbangan antara kedua-dua negara bagi mempromosikan industri pelancongan dan memperkukuhkan hubungan perdagangan. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laluan penerbangan dari Malaysia ke Pulau Hainan di China akan dibuka semula dalam masa terdekat. Katanya, Malindo Air akan menyediakan penerbangan terus ke kepulauan itu dua kali seminggu bermula hujung bulan depan. "Kami juga berharap untuk melihat lebih banyak penerbangan dari Malaysia menghubungkan bandar-bandar kecil di China untuk mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara," katanya pada majlis mempromosikan Pelancongan Pulau Hainan di sini, Jumaat.