suria

Polis Temui Dadah Disorok Dalam Buku Agama

Dadah bernilai RM100,000 disorokkan dalam buku agama.

KUALA LUMPUR: Polis menemui dadah dianggarkan bernilai RM100,000 disorokkan dalam sebuah buku agama di sebuah syarikat penghantaran kurier di Selangor.

Buku tersebut yang diletakkan di dalam sebuah bungkusan dirampas semasa serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman kira-kira pukul 8 malam Khamis.

Pengarah (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata buku tersebut yang mengandungi 260g syabu sepatutnya hendak dihantar ke sebuah alamat di Australia.

Katanya, belum ada tangkapan dilakukan setakat ini.

"Kami akan menyiasat sama ada syarikat kurier tersebut bersubahat dengan suspek," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bukit Aman, di sini, Jumaat.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan tiga warga Nigeria dan seorang warga Indonesia dalam empat serbuan di Bandar Baru Puchong, Selangor pada Rabu.

Mokhtar berkata, semasa serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi dan 1.30 petang itu menyaksikan empat suspek ditahan dan syabu dianggarkan bernilai RM1.9 juta dirampas.

Antara yang ditahan itu, dua daripada lelaki warga Nigeria berusia antara 33 dan 35 tahun, seorang wanita warga Nigeria (22 tahun) dan lelaki Indonesia (25 tahun).

syabu, buku agama, STING, PDRM

Artikel Lain