PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan dakwaan bahawa mangsa dan keluarga Orang Asli yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pos Tohoi tidak menerima layanan baik daripada kakitangan jabatan itu. Sebuah akhbar bahasa Melayu pada Sabtu bertajuk "Keluarga Mangsa Kanak-Kanak Orang Asli Di Pos Tohoi Dilayan Teruk - Aktivis" mendakwa jabatan tersebut gagal memberikan layanan baik kepada keluarga mangsa. "Laporan tersebut tidak benar, tidak berasas dan ditimbulkan untuk memberikan gambaran buruk terhadap jabatan ini dan juga kerajaan," kata Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Hasnan Hassan dalam satu kenyataan pada Ahad. Menurut Hasnan, jabatan tersebut amat komited dalam memberikan sepenuh perhatian terhadap misi SAR dalam menjejaki tujuh kanak-kanak Orang Asli SK Tohoi yang hilang. Malah, katanya mereka juga menyediakan keperluan asas kepada keluarga mangsa sepanjang tempoh 49 hari operasi dijalankan. Beliau berkata, antara keperluan yang disediakan kepada keluarga itu adalah makanan, bahan api dan bantuan kewangan. Jabatan tersebut turut menyediakan bantuan penginapan dan pakaian untuk keluarga yang terlibat. Pegawai-pegawainya juga ditugaskan khusus untuk menjaga kebajikan keluarga mangsa. Antara tindakan pantas yang dilakukan jabatan tersebut adalah menubuhkan sebuah pasukan sukarelawan Orang Asli yang terdiri daripada 190 yang bekerja sebagai polis, tentera, ahli bomba dan penyelamat, jabatan pertahanan awam dan Jabatan Pendaftaran Negara dalam menjejaki mangsa. "Dalam tempoh 47 hari operasi, tiada sebarang aduan atau rungutan yang diterima Jakoa daripada ibu bapa atau keluarga mangsa. Semua pihak bersyukur dan menghargai usaha jabatan dalam menghulurkan bantuan dan menjaga kebajikan pihak terlibat. "Jabatan ini amat kecewa dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada situasi ini untuk membuat tuduhan tidak berasas. "Namun, jabatan ini bersedia untuk menerima sebarang cadangan atau komen membina yang boleh membantu memperbaiki prosedur kami dalam maklum balas untuk menangani sebarang krisis," kata Hasnan. Tujuh kanak-kanak Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu menghabiskan masa selama lebih sebulan di dalam hutan berhampiran sekolah mereka. Setakat ini, pasukan SAR hanya menjumpai empat mayat kanak-kanak tersebut. Dua lagi iaitu Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluij, 11, ditemui selamat di tebing Sungai Perias pada Jumaat lalu.