MADINAH: Lebih 100 jemaah haji dari Malaysia diraikan pada majlis sarapan oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Islam Madinah dan Universiti Taibah di perkarangan Masjid Nabawi di sini pada pukul 9 pagi Sabtu waktu tempatan. Majlis ringkas tetapi penuh bermakna itu dikendalikan oleh 17 pelajar lelaki yang masih lagi menuntut di kedua-dua universiti berkenaan. Jemaah dijamu dengan nasi lemak dan nasi goreng yang disediakan sendiri oleh pelajar terbabit. Mohd Khairul (kanan) memberikan buku doa harian dan CD bacaan al-Quran kepada jemaah haji. Cenderahati iaitu buku doa harian dan CD bacaan al-Quran 30 juzuk turut menjadi buah tangan untuk setiap jemaah yang hadir pada majlis pagi Sabtu. Menurut Penyelia Maktab Taawun (Malaysia), Mohd Khairul Izzudin Ab Raffar, aktiviti seumpama itu dapat menjalin silaturahim dengan jemaah haji dari Malaysia dan membuka peluang kepada jemaah Malaysia mengenali pelajar negara sendiri di perantauan. "Kami sangat berbesar hati dan bersyukur dapat bertemu jemaah haji dari tanah air sendiri. Sekurang-kurangnya terubat kerinduan pada keluarga dan kampung halaman," katanya ketika ditemui pagi Sabtu. Antara jemaah haji yang hadir pada majlis itu termasuk dari Destinasia Travels Sdn Bhd dan Tabung Haji. Sekumpulan pelajar dari Universiti Islam Madinah dan Universiti Taibah bersama sebahagian jemaah haji Malaysia di perkarangan Masjid Nabawi. Menurut Khairul Izzudin, jemaah dari Destinasia Travels berpeluang menziarahi Masjid Quba pagi Ahad secara percuma dan seorang pelajar dari Universiti Islam Madinah akan menemani jemaah kelak. Biarpun ziarah ke Masjid Quba sudah dilaksanakan minggu lalu namun sebahagian besar jemaah akan merebut peluang mengunjungi masjid itu beberapa kali. Mohd Khairul Izzudin juga adalah pelajar tahun lima Fakulti Al-Quran Universiti Islam Madinah.