GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang sesat semasa mendaki Bukit Jambul pada Ahad ditemui selamat. Som Phay, 26, yang menghubungi Balai Bomba Jalan Perak pada pukul 6.31 petang Ahad melaporkan kepada seorang pegawai bahawa dia gagal menjumpai jalan keluar semasa menuruni dari kawasan berkenaan. Jurucakap Balai Bomba Jalan Perak berkata, Som membuat panggilan dan memaklumkan bahawa dia keletihan dan hari semakin gelap, dan dia tidak dapat menjumpai jalan keluar. "Kita menggerakkan 12 anggota bomba untuk mencari dan menyelamat tetapi kita tidak dapat mengesannya di bukit itu. "Bagaimanapun, dia ditemui di sebuah pasar raya di Sungai Dua pada pukul 9.55 pagi Isnin dalam keadaan lemah dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 10.05 pagi. "Pihak polis telah memaklumkan kepada keluarganya dan dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi.