JOHOR BARU: Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) melakukan pembenihan awan mulai Isnin hingga hujung bulan ini bagi menampung kekurangan bekalan air di beberapa empangan. Pengarahnya Mohd Riduan Md Ali berkata 20 penerbangan menggunakan pesawat Cessna dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dijangka dilakukan bagi tujuan terbabit dengan setiap penerbangan mengambil masa antara dua hingga tiga jam. "Pembenihan ditumpukan di kawasan Empangan Sungai Layang dekat Masai dan Sungai Lebam dekat Kota Tinggi. "Beberapa empangan termasuk Empangan Machap dekat Kluang, Empangan Chongok dekat Mersing, Empangan Juaseh dekat Segamat dan Empangan Sembrong dekat Kluang," katanya. Mohd Riduan berkata pihaknya menerima kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan Civil Aviation Singapore (CAS) untuk melakukan pembenihan. Ketika ini Empangan Sungai Layang mencatatkan paras 19.7 meter melebihi paras kritikal 23.5 meter manakala Empangan Sungai Lebam mencatatkan paras 8.78 meter melebihi paras kritikal 12.27 meter. Khamis lalu, SAJ Holdings (SAJ) memaklumkan lanjutan Bekalan Air Berjadual (BAB) di sebahagian Johor Baharu dan Pengerang dilakukan sehingga 15 Nov ini berikutan paras air di Empangan Sungai Layang dan Sungai Lebam belum menunjukkan perkembangan positif.