suria

Hadi Awang Kemuka Hujah Mahkamah Tinggi Tak Boleh Persoal Prosiding Parlimen

Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan empat yang lain menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi tiada kuasa untuk mempersoalkan prosiding di Parlimen berkaitan pembentangan rang undang-undang hudud.

Kata mereka, Parlimen ada hak keistimewaan sepenuhnya untuk memutuskan mengenai pembentangan rang undang-undang itu.

Bercakap kepada wakil media pada Selasa, peguam Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah mengemukakan hujah bahawa Mahkamah Tinggi perlu mengetepikan saman yang dikemukakan empat individu iaitu mahkamah tidak ada kuasa untuk mempertikaikan prosiding Parlimen.

"Kami mengemukakan bahawa terpulang kepada Parlimen untuk menolak undang-undang itu jika ia didapati salah. Usul itu perlu ditentukan 222 Ahli Parlimen.

"Jika Parlimen meluluskan undang-undang itu, jadi ia boleh dicabar di mahkamah. Kami menganggap tindakan ini masih terlalu awal dan perlu diketepikan," katanya.

Kata Takiyuddin, pindaan yang dicadangkan perlu merangkumi perundangan di Mahkamah Syariah dalam menghukum umat Islam yang melakukan kesalahan tertentu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shahroni Sanusi yang tampil mewakili Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan tiga yang lain berkata, plaintif sepatutnya memfailkan semakan kehakiman untuk menghalang pembentangan rang undang-undang berkaitan hudud di Parlimen.

"Kami tetap dengan pendirian bahawa tindakan empat individu terlibat tidak betul. Ia sepatutnya menggunakan semakan kehakiman, bukan melalui perintah saman," katanya.

Di kamar, Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas), Asmabi Mohamad menetapkan 9 November ini untuk memutuskan permohonan Hadi bagi mengetepikan saman yang disokong empat yang lain itu.

Empat individu terlibat termasuk peguam, Mansoor Saat; aktivis Azira Aziz; penyelidik Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin.

Mereka mahu lima individu termasuk Pandikar Amin, timbalannya, Datuk Ismail Mohamed Said dan Datuk Ronald Kiandee serta setiausaha Datuk Roosme Hamdan diarah supaya menarik balik atau dihalang daripada meneruskan perbincangan mengenai pindaan yang dicadangkan pada sesi Dewan Rakyat.

Hadi Awang, hudud, Mahkamah Tinggi

Artikel Lain