JAKARTA: Lawatan kerja singkat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jakarta pada Ahad sebenarnya memberi kesan jangka panjang hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia. Hanya dalam perjumpaan kira-kira empat jam di Bogor dengan Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi, perdana menteri telah memberi dua idea bernas yang diterima pakai oleh kerajaan Indonesia. Pertamanya ialah saranan Najib kepada Jokowi supaya Indonesia membina perigi tiub sebagai kaedah untuk mengawal kebakaran hutan dan melembapkan tanah gambut di kawasan perladangan. Najib menjelaskan kepada Jokowi bahawa pembinaan perigi tiub itu adalah kaedah yang berkesan di Malaysia dalam mengawal kebakaran hutan dan pembinaannya dapat disiapkan dengan cepat berbanding cadangan kerajaan Indonesia untuk membina terusan air. Saranan Najib itu terus mendapat reaksi positif oleh Jokowi dan bersetuju untuk menghantar pasukan khas bagi mengkaji bagaimana perigi tiub itu dibina dan meninjau keberkesanannya di Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak. Perdana Menteri secara jujur menyatakan kepada Jokowi bahawa cadangan membina terusan oleh kerajaan Indonesia mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan ia adalah terlalu lama bagi Malaysia yang menjadi mangsa jerebu. Saranan Najib yang seolah-olah memberi nafas lega kepada Jokowi itu jelas membuktikan bahawa pemimpin Malaysia berupaya memberi kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah jerebu. Pendekatan Najib ialah menyelesaikan masalah yang timbul menerusi rundingan dengan memberi idea yang bernas. Perdana Menteri memberitahu pemberita, Jokowi pada mulanya menunjukkan reaksi tertekan, kesal dan malu dengan masalah kebakaran hutan dan ladang di negaranya serta memahami kesulitan rakyat Malaysia akibat jerebu sejak dua bulan ini. Indonesia pada mulanya mencadangkan pembinaan terusan yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah kebakaran hutan dan ladang. Perkara kedua yang sangat signifikan dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin utama negara itu ialah penubuhan Majlis Minyak Sawit Antarabangsa yang diasaskan bersama oleh Malaysia dan Indonesia. Najib menyifatkan penubuhan majlis itu sebagai kejayaan terbesar dalam hubungan dua buah negara kerana perkara yang dirancang sejak tahun 2006 itu kini menjadi kenyataan apabila kedua-dua negara mencapai kata sepakat. Majlis itu akan menentukan piawaian global baharu dalam pengeluaran minyak sawit dan mewujudkan kerjasama mengenai stok simpanan minyak sawit dunia. Perdana Menteri berkata penubuhan majlis ini satu sejarah dan signifikan bagi negara pengeluar kelapa sawit kerana Malaysia dan Indonesia menguasai lebih 80 peratus pengeluaran minyak sawit dunia. "Majlis itu akan memberi manfaat industri secara bersama dan akan mengambil tindakan bersama terhadap ancaman kelapa sawit seperti kegiatan lobi anti minyak sawit dan apa-apa diskriminasi yang dilakukan...kita akan ambil langkah bersama," katanya. Majlis itu juga akan membangunkan Zon Ekonomi Hijau serta mempertingkatkan pembangunan sosioekonomi pekebun kecil. Najib berkata struktur organisasinya akan diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif dan ia akan diumumkan secara rasmi bersempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada November ini.