suria

Semangat Di Padang Bantu Berjaya Dalam Bisnes - Hai-O

Hai-O (kiri) bersama trofi Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik Negeri Terengganu sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Wisma Darul Iman pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak berpengalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar teruja apabila menerima Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik Negeri Terengganu sempena sambutan Ma'al Hijrah, Rabu.

Hairuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Hai-O menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada majlis sambutan peringkat negeri di Wisma Darul Iman.

"Saya terkejut namun bersyukur dengan anugerah ini dan ia didedikasikan kepada 30 pekerja yang sentiasa berusaha menghasilkan produk-produk makanan terbaik.

"Sudah tentu anugerah yang diterima ini menjadi semangat untuk saya terus berusaha mengembangkan lagi perniagaan pes makanan sedia hidang dan jika tidak ada aral melintang hujung tahun ini produk-produk yang dikenali 'Adeqsu' akan mula dipasarkan di Tesco dan juga Mydin.

"Setakat ini produk keluaran Adeq Sue Resources Sdn Bhd ini telah berada di seluruh pasaraya Giant. Saya juga bersyukur kerana penglibatan saya dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ini mula menampakkan hasil biarpun baharu dua tahun dijalankan," jelasnya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Hai-O menerima anugerah yang disempurnakan Sultan Mizan Zainal Abidin.


Sementara itu, Hai-O turut mengakui bukan mudah untuk berada di tempat sekarang sekiranya tidak mempunyai semangat yang kuat.

"Menjalankan perniagaan bukan mudah kerana ada masa kita jatuh, ada masa kita bangun. Saya menganggap situasi ini sama sahaja ketika bermain bola sepak yang kadang-kala ada menang dan kalah.

"Dan semangat di padang itulah yang saya guna dalam perniagaan ini. Semangat tidak mudah berputus-asa dan terus fokus kerana setiap masalah ada jalan keluarnya.

"Bagi saya antara perkara yang perlu ada dalam diri ialah sikap konsisten dan percaya kepada diri sendiri," jelas Hai-O yang mendapat idea membuka  kilang makanan ini timbul selepas restoran ikan bakarnya  iaitu 'Restoran Adeq Su Ikan Bakar' di Terengganu mendapat sambutan yang baik.

Dalam pada itu, Hai-O berkata, produk pes makanan sedia hidang yang dihasilkan seperti sos ikan bakar, sos tiga rasa, bawang goreng, tepung serbaguna dan sebagainya itu mempunyai kelebihan tersendiri yang memang sedap dan mudah digunakan.

"Produk-produk ini diproses secara moden tetapi kesedapannya tetap asli malah mudah digunakan kerana semuanya cukup rasa," tambah penyerang berusia 36 tahun ini.

Selain itu, mengenai perkembangan semasa aksi Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung, Hai-O percaya ATM masih mempunyai peluang untuk meneruskan aksi ke saingan seterusnya walaupun hanya berbaki tiga lagi perlawanan di peringkat kumpulan.

"Baki dua perlawanan akan bermain di tempat sendiri, manakala Sabtu ini kami akan bertandang ke Johor bertemu JDT. Saya harap kami mampu mengutip mata di sana.

"Walaupun  kecederaan saya di bahagian hamstring baharu sahaja pulih, saya akan cuba memberi yang terbaik jika tersenarai dalam barisan pemain utama," jelas kapten ATM ini.

ATM kini berada ditangga kedua bagi  Kumpulan B di belakang JDT, manakala Sarawak dan Perak di kedudukan ketiga dan keempat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain