suria

JAS Diarah Bersedia Tunjuk Ajar Laksana Telaga Tiub Kepada Indonesia

KUCHING: Jabatan Alam Sekitar sudah diarah bersedia untuk memberi tunjuk ajar pelaksanaan telaga tiub sebagai kaedah mencegah kebakaran yang dilaksanakan di tanah gambut serta hutan negara ini kepada pihak berkuasa Indonesia.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Indonesia dijangka menghantar pihak berkuasa mereka untuk melihat keberkesanan telaga tiub itu sebaik kebakaran hutan serta ladang di Sumatera dan Kalimantan di negara berkenaan reda.

Menurutnya rombongan berkenaan akan datang bagi mengkaji keberkesanan telaga tiub yang didapati berkesan mencegah kebakaran tanah gambut kerana air disalurkan ke bawah tanah secara sistematik.

"Saya cukup yakin mereka akan tunggu apabila keadaan kebakaran yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan reda baru Indonesia akan datang melawat Malaysia untuk melihat sistem telaga tiub yang kita laksanakan di seluruh tanah gambut dan hutan kita untuk mengawal kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Kecemasan (Bantuan Pendidikan) 2015 Parlimen Santubong, di sini, Rabu.

Dalam lawatan kerja singkat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jakarta baru-baru beliau telah mengemukakan cadangan supaya Indonesia membina telaga tiub sebagai kaedah untuk mengawal kebakaran hutan dan melembapkan tanah gambut di kawasan perladangan.-- Bernama


Artikel Lain