PUTRAJAYA: Usaha mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 masih dijalankan oleh Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT). Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata JIT terdiri penyiasat dari Malaysia, Belanda, Ukraine, Australia dan Belgium. Justeru, beliau berkata sememangnya tiada pihak dituduh bertanggungjawab berhubung nahas pesawat MH17 dalam laporan akhir tragedi itu yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda pada Selasa. Azharuddin menjelaskan, ini kerana laporan akhir itu dibuat berdasarkan kepada Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang hanya meliputi aspek teknikal termasuk mengenal pasti punca nahas. "Annex 13 ini adalah untuk mencari apa sebenarnya yang berlaku dan buat cadangan supaya perkara sama tidak berlaku lagi pada masa akan datang. "Ia tidak akan menuduh sesiapapun yang bertanggungjawab kerana itu bukan terma rujukan Annex 13," katanya kepada Bernama lewat Selasa malam. Lembaga Keselamatan Belanda hari ini mengesahkan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine tahun lepas. Pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014. Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, terkorban.