suria

Sultan Mizan Bimbang Fitnah Melalui Media Sosial Kian Berleluasa

Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan kebimbangan penyebaran berita palsu dan fitnah yang berleluasa melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Baginda bertitah umat Islam harus berhati-hati dan menyelidik dahulu kesahihan berita yang disebarkan dalam media sosial.

"Betapa banyak fitnah yang terjadi akibat berita bohong yang disebarkan melalui komunikasi media baru...Kesannya banyak darah yang tertumpah, harta yang musnah, kehormatan tercalar serta persaudaraan terputus.

"Beta menyeru seluruh rakyat jelata supaya sentiasa bersangka baik, bersatu padu dan bekerjasama untuk memastikan negeri dan negara terus maju," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Wisma Darul Iman di sini. Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Tuanku Nur Zahirah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta kira-kira 3,000 orang turut hadir pada majlis itu.

Sultan Mizan turut berkenaan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri kepada bekas qariah kebangsaan dan antarabangsa Sepiah Mohamad.

Baginda juga berkenan menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik kepada pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar yang merupakan pengusaha pes makanan sedia hidang Adeq Sue Resources Sdn Bhd (Adeq Sue).-- Bernama




Artikel Sebelum

Artikel Lain