KUALA LUMPUR: Bajet 2016 yang akan dibentang 23 Oktober ini akan terus menjamin peluang dan akses golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran agar mereka memperoleh pekerjaan yang stabil dan lebih baik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata Bajet 2016 juga akan menyediakan rumah mampu milik, serta meningkatkan pendapatan, pemilikan kekayaan dan kualiti hidup isi rumah golongan tersebut. "Bajet 2016 ini adalah penting kerana kedudukan ekonomi global semasa adalah amat mencabar. Tidak dapat dinafikan bahawa ketidaktentuan ekonomi global yang kita lihat pada hari ini sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan ekonomi Malaysia dan menimbulkan kebimbangan lapisan masyarakat tertentu. "Dalam konteks ini, golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) adalah golongan yang paling mudah terjejas dan memerlukan kestabilan pekerjaan serta peningkatan pendapatan bagi menampung kos pendidikan, kos pemilikan perumahan dan kos sara hidup," kata Najib menerusi catatan terbarunya di blog 'NajibRazak.com'. Namun begitu, katanya kerajaan perlu memastikan ekonomi modal bergiat cergas agar terus menjana ekonomi rakyat yang mana kecerdasan kedua-dua ekonomi ini perlu dipertingkatkan untuk membawa kedudukan negara selaras dengan negara-negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Sementara itu, Najib berkata beliau akan mengemukakan idea yang diberikan rakyat melalui kempen #Bajet2016 kepada Kementerian Kewangan untuk penilaian secara menyeluruh. Katanya daripada cadangan melalui kempen yang berlangsung sejak 1 hingga 18 September lepas, didapati ramai yang meminta kerajaan membantu meringankan beban harian, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. "Selain itu, ramai juga yang menyuarakan pandangan mengenai harga kos rumah yang tinggi sehingga di luar kemampuan. "Terdapat juga cadangan meminta kerajaan untuk bukan sahaja meningkatkan rangkaian pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Lembah Klang malah kerajaan disaran untuk melabur di dalam projek KTM atau LRT yang baru di pusat-pusat bandar di negeri-negeri lain," kata Perdana Menteri. Najib berkata dalam kaji selidik Bajet 2016 yang dijalankan melalui laman blognya itu mulai 18 September sehingga 1 Oktober lepas, kos sara hidup, perumahan dan kehidupan di bandar, dan pendidikan merupakan tiga kategori paling penting yang dipilih rakyat dalam pelaksanaan Bajet 2016. - BERNAMA