suria

Anong, Monyet Pembawa Tuah

Anong merampas tablet dari tangan seorang pengunjung dari Sibu yang berharap penemuannya dengan monyet itu dapat mengubah nasibnya.

SARIKEI: Suasana di sekitar pekan Jakar yang terletak di pinggiran bandar ini telah berubah secara mendadak disebabkan seekor monyet.

Orang ramai berkunjung ke sini dan ada yang datang dari jauh termasuk Singapura selepas berita mengenai ramai yang menjadi kaya kerana mendapat ramalam nombor telah menjadi viral.

Susah payah orang ramai ke Jakar hanya kerana seekor monyet yang dinamakan Anong dan dikatakan membawa tuah.

Lebih kurang sejam memandu dari Sibu, Jakar sudah dipenuhi orang ramai dari Sarikei, Sibu, Bintangor, Kanowit dan Julau pada hari minggu dan semasa hari cabutan nombor ramalan.

Seorang penduduk Sarikei yang mahu dikenali sebagai Lau berkata, pada waktu puncak, lebih kurang 1,000 orang akan berhimpit-himpit untuk mendekati monyet itu.

"Beberapa bulan lalu, monyet itu dilihat berkeliaran di tepi jalan di situ. Ada yang memberikan makanan. Mereka turut mencuba nasib dalam pertaruhan nombor ramalan selepas monyet itu memanjat bumbung kereta dan ramai antara mereka terus jadi kaya," dakwa Lau.

Menurut Lau lagi, seorang wanita dari Sarikei teruja dengan nombor ramalan enam digit yang dipertaruhkannya baru-baru ini.

Dua minggu lalu, selepas berita mengenai monyet ini menjadi viral di media sosial, orang ramai mula datang untuk melihat monyet berkenaan.

Seorang penduduk dari Sibu, Jelita Kempa, 43, berkunjung ke situ bersama dua anaknya, masing-masing lelaki dan perempuan selepas mendengar cerita tentang monyet itu daripada majikannya.

Bagaimanapun, tablet anak lelakinya dirampas dan dirosakkan oleh Anong.

"Saya akan beli nombor siri tablet itu dalam hujung minggu ini untuk mencuba nasib saya. Siapa tahu saya mungkin antara pelanggan yang bertuah," katanya.

Seorang ahli perniagaan, Wong Kai Ping pula risau dengan publisiti di media sosial dan mungkin ada yang akan menculik monyet itu.


Anong, Jakar

Artikel Sebelum

Artikel Lain