suria

Tol: Pengguna Guna Laluan Alternatif Untuk Jimat Kos

Pengguna jalan raya mula membayar kadar baharu tol yang meningkat antara 20 sen dan RM4.70 di beberapa lebuh raya di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor bermula Khamis. Foto AZLINA ABDULLAH / The Star

PETALING JAYA: Kenaikan kadar tol menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna lebuh raya, dengan kebanyakannya mengatakan akan mengubah laluan perjalanan mereka demi menjimatkan beberapa ringgit yang dapat dilakukan mereka.

Pengurus produksi, Sheril A. Bustaman, 24, berkata, dia biasanya membayar RM2.60 bagi perjalanan ke tempat kerja dan RM2.60 lagi untuk pulang ke rumah.

"Sekarang saya perlu membayar RM3.30 sehala, satu peningkatan sebanyak 70 sen atau RM1.40 sehari.

"Saya akan mengurangkan makan di luar dan juga mengurangkan berjalan-jalan. Saya tidak lagi dapat berjumpa dengan rakan-rakan selalu sekarang," katanya.

Sheril berkata, walaupun dia cuba mengurangkan penggunaan tol kepada dua kali sehari, namun ia masih menunjukkan dia perlu membelanjakan tambahan RM42 untuk bayaran tol setiap bulan.

Dalam keadaan ekonomi sekarang dan gaji yang diperolehinya selepas baharu bekerja, katanya, perkara kecil seperti kenaikan kadar tol akan menyebabkan kehidupannya lebih sukar buat golongan muda sepertinya.

"Kenaikan ini merupakan satu tambahan yang amat tidak perlu dalam perbelanjaan kami," katanya, sambil menambah bahawa laluan bebas tol bukan satu pilihan kerana ia hanya akan menggunakan lebih banyak petrol.

"Keadaan ini sudah boleh buat saya melupakan untuk memiliki rumah atau mempunyai kereta yang lebih baik pada masa akan datang," tambahnya.

Seorang ibu, Lina Hussein, 40, turut tidak menyenangi dengan kadar baharu tol itu kerana dia kini terpaksa membayar RM2.50 berbanding RM2, sebanyak empat kali sehari.

"Saya dan suami saya menggunakan DUKE untuk menghantar anak perempuan kami ke sekolah, tuisyen dan kelas piano," katanya.

Pasangan itu cuba untuk tidak menggunakan lebuh raya dan melalui Jalan Tun Razak yang tidak mempunyai tol, tetapi jalan tersebut sering mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk.

Pelajar kolej, Adrian Gan, 21, berkata dia terbeban dengan kadar tol yang lebih tinggi.

"Peningkatan kos buat saya adalah 100 peratus kerana perjalanan pergi dan balik setiap hari menelan belanja maksimum RM2, dan kini sebanyak RM4. Elaun bulanan saya hanya RM850," katanya.

Katanya, mana-mana laluan alternatif tanpa tol pastinya sesak teruk kerana bukan dia seorang sahaja yang memikirkan untuk melakukan sedemikian.

Gan merancang untuk mengurangkan perbelanjaan makan tengah harinya, mungkin makan mi segera atau roti kosong, berbanding makan di luar.

Pengguna jalan raya yang lain berkata, mereka cuba untuk mengelakkan kesesakan pada laluan tanpa tol dengan memulakan perjalanan lebih awal setiap hari.

Bagi T.F. Woon, 18, akan bangun pada pukul 6.30 pagi untuk pergi ke kolejnya menggunakan laluan alterntif yang akan mengambil masa perjalanan 40 minit.

Perjalanan dari rumahnya ke kolej menggunakan lebuh raya bertol hanya mengambil masa 25 minit.

"Elaun saya sebanyak RM50 seminggu. Dengan kenaikan itu, saya terpaksa menghabiskan kesemuanya pada tol," katanya.

Kadar tol di beberapa lebuh raya utama meningkat antara 20 sen dan RM4.70 pada Khamis.

Lebuh raya yang terlibat termasuk ebuh Raya Lingkaran Kajang (Silk), Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke), Lebuhraya MEX, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Terowong SMART, Lebuhraya KL-Kuala Selangor, Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Besraya dan Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas).

tol

Artikel Lain