SUNGAI PETANI: Seorang wanita kerugian kira-kira RM800 apabila beg galasnya dicuri sewaktu singgah untuk menunaikan solat Zohor di Masjid Padang Temusu, dekat sini, petang Khamis. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, mangsa yang tinggal di Bandar Sri Astana, dekat sini, singgah ke masjid itu kira-kira 3.30 petang dan meletakkan beg galas miliknya di hadapan saf ketika bersolat. "Dia hanya menyedari kehilangan beg galasnya itu selepas selesai solat dan ketika kejadian, hanya mangsa seorang yang berada di saf wanita. "Setelah mencari di kawasan sekitar, akhirnya mangsa menjumpai beg galasnya di bahagian belakang ruang solat wanita, bagaimanapun dompet milik suaminya dan telefon bimbit miliknya didapati hilang," katanya ketika dihubungi Bernama. Hasil rakaman kamera litar tertutup di ruang solat lelaki katanya, memaparkan imej seorang lelaki sedang mundar-mandir di dalam masjid, disyaki suspek yang mencuri beg mangsa yang berumur 43 tahun itu. Md Zukir berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.-- Bernama