suria

Polis Maut Kes Langgar Lari

Basil Gregory Anak Albert Likau.

SUBANG JAYA: Berkabung atas kematian seorang anggotanya, polis di sini menggesa saksi insiden langgar lari yang menggorbankan nyawa seorang lans koperal yang pulang dari tempat kerja pada Jumaat supaya tampil membantu siasatan.

L/Kpl Basil Gregory Anak Albert Likau baharu sahaja selesai kerja dan dalam perjalanan ke rumah dengan menaiki sebuah motosikal di Jalan Subang Kelana kira-kira pukul 5 pagi Sabtu apabila dilanggar sebuah kenderaan lain.

Motosikal Yamaha Ego LC milik mangsa rosak teruk dan L/Kpl Basil Gregory meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata jalan dua lorong itu berada dalam keadaan kering dan lancar semasa kejadian dan cuaca amat baik.

Terdapat kesan brek sepanjang lapan meter di laluan jalan raya itu.

"Mengambil kira kesan kerosakan pada motosikal, dia mungkin dilanggar kenderaan lain. Kami meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Mayat L/Kpl Basil Gregory dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum diterbangkan ke kampung halamannya di Miri, Sarawak.


Artikel Lain