suria

PKR Kemuka Usul Undi Tidak Percaya Terhadap PM

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian telah mengemukakan notis kepada Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul tersebut tersenarai dalam kertas aturan urusan mesyuarat dan usul-usul pada Dewan Rakyat yang akan bersidang pada Isnin ini.

Ia diletakkan dalam susunan ke-25 daripada keseluruhan 28 usul.

Perkara itu turut dinyatakan Loy Sian dalam laman Facebooknya pada Sabtu.

Bagaimanapun, kedudukannya yang tercorot itu mungkin menyebabkan ia tidak sempat dikemukakan pada persidangan kali ini.

Usul tersebut memfokuskan dakwaan bahawa perdana menteri gagal memberi penjelasan berhubung wang derma bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Malah, usul itu turut mempertikaikan siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bahawa Dewan ini mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan ‘Wang Derma’ berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah.

"Dengan tidak menjelaskan mengapa ‘Wang Derma’ ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana ‘Special Task Force’ yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan, pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara, Public Account Committee (PAC) yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.

"Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat.

"Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap Perdana Menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri," demikian menurut usul tersebut.

Artikel Lain