PADANG BESAR: Umno akan terus memberi penjelasan mengenai isu-isu sensitif secara tertutup bagi mengelak ia diputar belit oleh media sosial yang tidak beretika. Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, penjelasan menerusi pertemuan bersemuka harus dibuat bagi memastikan mesej yang disampaikan benar-benar difahami. "Kadang-kadang soalan yang ditimbulkan sensitif. Ini yang perlu dijelaskan supaya mereka benar-benar faham situasi sebenar dan tidak dikelirukan apabila diputar belit pihak tertentu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menghadiri Dialog Isu Nasional (DIN) yang diadakan secara tertutup di Institut Kemahiran Mara di Beseri, di sini, malam tadi. Ahmad berkata penjelasan yang akan diberikan termasuk isu 1MDB, dana politik, rombakan kabinet, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan tol.-- Bernama