suria

Cucu Bunuh Nenek Tak Beri Wang Beli Dadah

KOTA KINABALU: Akibat enggan memenuhi kemahuan cucu yang meminta wang untuk membeli dadah, seorang nenek di sini maut ditikam bertubi-tubi oleh cucunya itu.

Mallina Udin, 75, mati di tempat kejadian dengan 12 kesan tikaman pada tubuhnya dipercayai oleh suspek yang juga seorang penagih dadah tegar menggunakan senjata tajam yang kemudian ditembak mati polis.

Ketika dijumpai mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan ditutup dengan kain sejadah serta diletakkan Surah Yassin di dadanya.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lok Urai di Pulau Gaya di sini, malam Ahad.

"Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada orang awam kira-kira 7.10 malam," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, Isnin.

Katanya ketika polis tiba di lokasi, suspek berada berdekatan dengan mangsa sambil memegang sebilah parang dan gergaji serta berada dalam keadaan agresif.

Chandra berkata polis mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit memujuk suspek menyerah diri namun dia bertindak agresif sehingga memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri.

Suspek berumur 27 tahun yang terkena tembakan di badan, tangan dan kaki mati di tempat kejadian.

Menurut Chandra mangsa dan suspek tinggal serumah bersama lima orang lagi yang dipercayai telah melarikan diri meninggalkan mangsa dan suspek selepas kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

bunuh, penagih dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain