suria

Dana RM2.6 Bilion Belum Sah Derma Atau Rasuah

DENGKIL: Dana RM2.6 bilion yang mencetuskan kontroversi itu tidak boleh dikategorikan sebagai derma atau rasuah kerana siasatan kes berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun, wang itu boleh disifatkan sebagai rasuah jika pemberi memperoleh balasan hasil daripada bantuan yang disampaikan itu.

Sehubungan itu, penilaian terperinci berasaskan tiga aspek rasuah yang membabitkan pemberi dan penerima, suapan dan balasan perlu dilaksanakan untuk melengkapkan kes berkenaan.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar berkata, tanpa pengesahan berkaitan ketiga-tiga aspek asas rasuah, dengan itu kes berkenaan tidak dapat dilengkapkan.

"Jika ada ketiga-tiganya baru ia boleh dikatakan rasuah, sama ada nak dakwa pemberi atau penerima.

"Ikut cakap-cakap orang ramai, penerimanya adalah Perdana Menteri, tetapi siapa pemberinya, sebab itu kita perlu cari kerana dia akan jadi saksi utama, tetapi kedudukannya di luar negara sudah tentu akan melambatkan proses siasatan," katanya pada temubual khas mStar Online bersamanya baru-baru ini.

Bersara selepas 33 tahun berkhidmat, Zakaria menambah, bagaimanapun keterangan pemberi dana yang akan menentukan kedudukan kes berkenaan.

"Jika pemberi itu mengakui dia salurkan dana itu sebagai derma untuk buat surau atau masjid seluruh Malaysia, jadi bermakna ia bukan rasuah.

"Tetapi, kalau pemberi kata wang berkenaan memang untuk pembinaan surau atau masjid tetapi dia juga terima balasan daripada bantuan itu, barulah ada unsur rasuah," katanya.

Menjelaskan lanjut, kata Zakaria lagi, suapan yang juga salah satu elemen rasuah boleh diberi menerusi pelbagai kaedah antaranya derma, wang tunai, jawatan, barangan, seks atau komisyen.

Oleh itu, katanya, bukti diperlukan untuk mengesahkan semua aspek berkaitan sebelum tindakan diambil terhadap pihak berktanggungjawab.

"Lebih menyukarkan keadaan kalau pihak terlibat merahsiakannya.

"Sebab itu saya kata masyarakat tidak faham, tugas penting sekarang selain menemui pemberi dana adalah mengesan dokumen berkaitan RM2.6 bilion itu dan mencari saksi berkaitan untuk mengesahkannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila orang awam lebih gemar membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan termasuk terhadap SPRM hingga ia menjadi viral di media sosial.

"Orang ramai kata dakwwa saja nak siasat apa lagi, tapi nak dakwa macam mana, bukan senang, kena cari dokumen, lepas tu cari orang yang akan bercakap atau saksi sebab dokumen yang ditemui tu tak boleh bercakap dan kita perlukan pengesahan pihak berwajib.

"Tapi, kalau orang ramai faham tugas kami tentu tak jadilah viral macam sekarang. Janganlah hentam SPRM, jangan tambah masalah, kata SPRM tidur la, macam-macam lagi," katanya.

Menjelaskan lanjut, Zakaria memberi satu lagi contoh untuk membolehkan orang ramai lebih memahami isu berkenaan.

"Contohnya dia tok imam yang juga guru besar dan selepas solat dia memaklumkan ada rancangan untuk sambung bumbung di tempat meletak kasut bagi elak basah semasa hujan tetapi bajet tidak mencukupi dan meminta sesiapa yang berhasrat menyumbang memasukkan dana ke akaun masjid.

"Tetapi pada masa sama, dia sebagai guru besar apabila jumpa orang tertentu berkata:"Aku boleh bagi tender kantin dengan syarat kamu derma kepada masjid untuk kerja penyambungan bumbung sebab nak jaga kepentingan aku sebagai nazir masjid.

"Dalam keadaan ini, rasuah berlaku dan semua bukti dan keterangan saksi perlu dikumpul untuk disampaikan kepada pendakwaraya jika tidak tiada kes," katanya.

Setakat Ogos lalu, SPRM mengulangi bahawa pihaknya hanya menyebut yang dana RM2.6 bilion adalah sumbangan derma daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan bukannya dana 1MDB.

SPRM juga menekankan bahawa siasatan berkenaan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion masih berjalan



SPRM, Zakaria Jaffar, derma

Artikel Lain