KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan bahawa pengganas menjadikan Malaysia sebagai tempat perlindungan untuk menjalankan aktiviti kumpulan itu. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, berdasarkan risikan Polis Diraja Malaysia, Malaysia hanya menjadi negara transit untuk pengganas bergerak ke negara ketiga. “Tahap keselamatan negara berada dalam keadaan baik dan terkawal daripada ancaman anasir pengganas di dalam dan luar negara. “Kenyataan bahawa pengganas antarabangsa telah memilih Malaysia sebagai tempat perlindungan tidak dapat disahkan kebenarannya,” katanya. Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong-BN) mengenai tahap keselamatan negara dan mengapa pengganas antarabangsa memilih Malaysia sebagai tempat perlindungan. Bagaimanapun beliau berkata, kementerian sedar terdapat segelintir rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan elemen kumpulan pengganas seperti militan negara Islam (IS) dan pemantauan dilakukan secara berterusan untuk mengesan individu-individu terbabit. Katanya, hasil kerjasama polis dengan agensi perisikan antarabangsa, seramai 132 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan berkaitan keganasan telah ditahan. “Daripada jumlah ini, seramai 123 orang ditangkap dikenakan tindakan kerana terlibat dengan kegiatan IS,” katanya. Katanya, tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) diambil terhadap 22 tahanan; 48 lagi dalam proses untuk didakwa; 14 diusir keluar negara; satu masih dalam siasatan dan 38 lain dibebaskan. “Bagaimanapun saya tidak berhasrat mendedahkan secara terperinci maklumat mereka kerana polis masih menjalankan siasatan,” katanya.