suria

Pembangkang Ada Strategi Usul Undi Tidak Percaya Terhadap PM - Azmin

KUALA LUMPUR: Isu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi antara topik utama persidangan Dewan rakyat kali ini dengan yang terkini Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata pembangkang mempunyai strategi dalam mengemukakan usul itu.

Azmin berkata, pembangkang sedar satu jumlah yang selesa diperlukan jika usul itu berjaya dibentangkan dan mereka sedang berusaha ke arah itu.

"Ini soal strategi yang kita harus atur dan susun dengan baik tapi ia akan memenuhi dan mematuhi peraturan Dewanlah.

"Kita sedar kita perlukan satu jumlah yang selesa untuk menjayakan usul ini dan kita sedang berusaha ke arahnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas berakhirnya persidangan pada Selasa.

Azmin berkata, setakat ini perbincangan dengan parti-parti pembangkang telah diadakan, termasuklah dengan PAS dan ia mendapat maklum balas positif.

"Alhamdulillah atas dasar bersama kita telah bersetuju untuk kemukan satu usul  tak percaya kepada perdana menteri tapi waktu dan ketikanya kita akan bincang lebih lanjutlah," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pembangkang telah mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional, beliau berkata: "Adalah…ini strategi."

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap ahli Parlimen perlu mempunyai keberanian untuk menyokong usul tersebut jika mereka percaya ia akan memberi manfaat kepada negara.

"Ia bergantung, mereka harus buat keputusan. Jika mereka percaya negara perlu mengembalikan keyakinan pelabur kepada kerajaan dan Parlimen, mereka perlu mempunyai keberanian untuk sokong.

"Kami (pembangkang) perlu tunjukkan kepada rakyat bahawa kami sangat komited, negara sekarang berdepan krisis besar, krisis kepimpinan dan ini dibenarkan dalam Perlembagaan dan di Parlimen," katanya.

PKR, Parlimen

Artikel Lain