KUALA LUMPUR: "Saya tidak ada kena mengena dengan usul undi tidak percaya (Pakatan Harapan)," tegas Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ketika ditanya tentang kaitannya dengan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri yang akan dibawa oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ahli Parlimen Gua Musang itu bagaimanapun berkata semua ahli Parlimen bebas untuk membuat pilihan kerana perkara penting dalam undi tidak percaya adalah ‘keyakinan’. "Itu terpulang kepada mereka, saya tidak ada kena mengena dengan usul undi tidak percaya (Pakatan Harapan). "Jadi ini terpulang kepada ahli Dewan Rakyat. Perkara utama dalam segala perbincangan adalah keyakinan. Seseorang tidak boleh menjadi perdana menteri kalau dia tidak ada keyakinan daripada majoriti ahli Dewan Rakyat. Itulah kuncinya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, Selasa. Menurut veteran Umno berkenaan, beliau bukanlah individu yang boleh menjawab sama ada undi tidak percaya itu cukup atau tidak untuk menafikan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, jawapan itu hanya boleh diberikan oleh pembangkang dan ahli Parlimen Barisan Nasional. "Saya tidak tahu sama ada mereka akan dapat jumlah undi yang cukup atau tidak, kamu sepatutnya tanya dia (Dr Wan Azizah). "Tanya pemimpin Umno adakah mereka akan sokong undi itu," katanya. Beliau turut ditanya sekali lagi adakah beliau akan menyokong undi tidak percaya itu dan menjawab: “Perlukah saya?” Katanya, terdapat pelbagai cara untuk menyingkirkan Najib dan bukan sekadar undi tidak percaya sahaja. "Saya tidak ada mengutarakan apa-apa cadangan. Cuma selaku ahli Dewan Rakyat saya percaya ada macam-macam cara tidak semestinya satu cara sahaja. "Ahli Dewan Rakyat hanya alat untuk membela kepentingan rakyat, berkesan atau tidak, kesannya kepada rakyat dan negara itu yang lebih penting. Apa yang disuara itu adalah bagi pihak rakyat," katanya. Pada Isnin, Dr Wan Azizah berkata, usul undi tidak percaya yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian akan ditarik balik dan satu usul baru akan dihantar oleh beliau sendiri membawa suara keseluruhan Pakatan Harapan. Katanya, gabungan pembangkang itu akan mendekati sesiapa sahaja yang mempunyai objektif sama iaitu untuk menyingkirkan Najib termasuklah PAS dan beberapa pemimpin Umno/BN.