BUKIT MERTAJAM: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang yakin kerjasama politik dengan PAS akan membawa kepada kejayaan kedua-dua pihak.
Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata Umno Pulau Pinang bersedia untuk menjalin kerjasama ini berdasarkan pendirian Umno yang enggan melihat Melayu berpecah kepada puak-puak kecil dan berbeza pandangan.
"Kita sedia untuk jalin kerjasama dengan PAS mahu pun mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlandaskan Islam.
"Namun keputusan itu hanya boleh dimuktamadkan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua parti," katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Turut hadir, Setiausaha Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah. - BERNAMA