BALING: Seorang graduan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang baharu menerima ijazah, maut dalam kemalangan di kawasan kolej itu, kira-kira 2.20 petang Rabu. Mangsa Miti Teomphol, 22, yang merupakan warga Thailand, maut apabila motosikal dinaiki bersama seorang rakannya, hilang kawalan dan terbabas di Jalan Kulliyah Perubatan, KUIN. Miti menerima Ijazah Sarjana Muda Syariah pada Konvokesyen Ke-17 kolej berkenaan pada Rabu. Timbalan Ketua Polis Daerah Baling DSP Wari Kiew berkata siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah Dewan Utama Sultanah Bahiyah menghala ke kediamannya di Taman Desa Bidara. "Semasa tiba di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan," katanya. Mangsa tercampak ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya. Wari berkata pembonceng motosikal yang hanya dikenali sebagai Prachya, 23, hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - BERNAMA