PUTRAJAYA: Malaysia tidak pernah menggunakan alat 'pneumatic stunner' dalam proses penyembelihan lembu seperti yang dipaparkan dalam video yang tersebar di media sosial, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Kamarudin Md Isa. Beliau berkata klip video yang dikatakan dirakam di Pulau Pinang itu menunjukkan proses stunning menggunakan alat yang tidak terdapat di rumah sembelih Malaysia. "Oleh yang demikian, klip video ini berkemungkinan besar menggambarkan keadaan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu. Menyentuh mengenai pusat penyembelihan di India yang mengeksport daging ke Malaysia seperti dinyatakan di dalam suara latar klip video tersebut, Dr Kamarudin menjelaskan hanya daging kerbau yang diimport dari India. "Sebaliknya video terbabit menunjukkan ternakan lembu yang mana turut dilarang penyembelihannya di negara itu," jelasnya. Dr Kamarudin berkata dalam proses penyembelihan sebenar, penyembelih akan menggunakan pisau yang tajam dengan membaringkan ternakan, memutuskan halkum dan dua salur darah karotid. "Video yang ditunjukkan tidak dapat digunakan untuk menentukan sama ada proses penyembelihan halal atau sebaliknya dilakukan kerana tiada proses penyembelihan ditunjukkan," jelasnya. Katanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar memandang serius tujuan penyebaran klip video itu. Oleh itu, katanya orang ramai diharap tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang boleh mengeliru dan meragukan para pengguna daging secara umumnya. Untuk maklumat lanjut, para pengguna daging import boleh merujuk ke laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veteriar di http://www.dvs.gov.my/approved-overseas-plant-abattoir bagi memastikan pusat penyembelihan yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia. - BERNAMA