suria

Pembangkang Akan Cabar Penggantungan Kit Siang

Gobind Singh Deo
KUALA LUMPUR: Pembangkang akan mencabar penggantungan enam bulan Lim Kit Siang (DAP - Gelang Patah) dari Dewan Rakyat.

DAP berpendapat bahawa penggantungan itu adalah bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Parlimen, kata Gobind Singh Deo (DAP - Puchong).

"Kami akan memfailkan usul, dan kami berharap usul itu akan dibentangkan untuk perbahasan," katanya pada sidang akhbar di luar Parlimen, Khamis selepasKit Siang digantung.

"Kami sepakat bahawa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua akan memfailkan usul untuk mempertikaikan keputusan oleh Speaker, hari ini," katanya.

Gobind berkata mengikut prosedur, Kit Siang sepatutnya dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum usul untuk menggantung beliau dibahaskan.

Tambahnya, DAP akan berbincang dengan semua pihak termasuk pembangkang PKR, PAS, dan Amanah mengenai kemungkinan untuk mengemukakan usul bersama.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan turut hadir di kalangan pemimpin pembangkang lain untuk menunjukkan sokongan kepada Kit Siang terhadap penggantungannya.

Kit Siang telah digantung kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul untuk menggantung beliau dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selepas perdebatan hangat, usul itu telah diluluskan dengan undi 107 bersetuju dan 77 menentang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain