KUANTAN: Seorang jurukamera TV3 maut setelah motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas di Kilometer 156 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, malam Khamis. Menurut jurucakap polis, mangsa Nor Azman Jumahat, 41, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada hampir seluruh badan termasuk patah tangan dan kaki dalam nahas kira-kira 9 malam itu. "Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa yang ketika itu dari Kuala Lumpur ke Kuantan dipercayai terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri jalan," katanya. Akibat kejadian itu, mangsa yang berasal dari Binjai, Kemaman, Terengganu mengalami kecederaan parah termasuk di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya. Difahamkan mangsa yang juga dikenali sebagai 'Man J' dalam kalangan rakan media ketika itu baru selesai bertugas, dan dalam perjalanan pulang untuk berjumpa keluarga di Kuantan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Jengka untuk bedah siasat. - BERNAMA