suria

Tun M Belum Dipanggil, Siasatan Diteruskan - KPN

Dr Mahathir disambut orang ramai ketika menghadiri perhimpunan Bersih 4.

KUALA LUMPUR: Belum dipanggil untuk memberi keterangan bukan bermakna Tun Dr Mahathir Mohamad tidak disiasat polis, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bercakap kepada pemberita pada Jumaat, Ketua Polis Negara berkata, polis masih menyiasat Dr Mahathir berhubung kenyataannya terhadap ahli Umno semasa perhimpunan Bersih 4.

"Saya tidak pernah kata kami sedang atur untuk menemubual beliau, saya kata kami belum ada masa untuk menemui beliau.

"Jangan fikir kami belum memanggil Tun Mahathir untuk merakamkan keterangannya atau menemubualnya, kami tidak menjalankan siasatan terhadap beliau.

"Siasatan masih diteruskan. Jika ada keperluan untuk memanggil beliau, kami akan lakukan," katanya.

Khalid sekali lagi menjelaskan, Dr Mahathir tidak disiasat berhubung kehadirannya pada perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos, tetapi berkaitan kenyataannya terhadap pemimpin Umno ketika berucap pada program itu.

"Laporan polis dibuat terhadap beliau berikutan kenyataannya," katanya sambil menambah Dr Mahathir disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana jenayah fitnah.

Bagaimanapun, Khalid enggan mendedahkan intipati siasatan itu.

Artikel Lain