KOTA BELUD: Peruntukan berjumlah RM41.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan melalui Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam adalah bukti keprihatinan tinggi kerajaan kepada sektor pendidikan di negara ini. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keadaan ekonomi global yang tidak menentu kini bukan penghalang untuk kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi bidang pendidikan. "Bajet berkenaan bersifat menyeluruh dan merangkumi seluruh sektor dalam pendidikan seperti pembangunan, kurikulum, ko-kurikulum dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya kepada pemberita selepas meninjau Sekolah Kebangsaan Nanamun dekat sini yang daif dan tidak selamat diduduki. Mahdzir berkata peruntukan untuk TVET yang agak besar juga akan membolehkan negara mengeluarkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan generasi muda di negara ini. "Pada saya secara keseluruhannya, perdana menteri telah meletakkan pendidikan sebagai keutamaan, sebaris dengan perkara-perkara lain yang penting untuk masa depan kita semua," katanya. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip.-- Bernama