KEPALA BATAS: Kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan sebaliknya sentiasa adil mengagihkan peruntukan di negeri-negeri dalam setiap bajet tahunannya, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman. Beliau berkata pengagihan peruntukan itu dibuat selepas menimbang semua aspek dan keperluan negeri-negeri dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya kerajaan Persekutuan meminggirkan Pulau Pinang dalam Bajet 2016 kerana peruntukan besar disalurkan kepada negeri ini sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10. Beliau memberitahu sidang berita di sini, hari ini bahawa Pulau Pinang juga memperoleh hasil banyak menerusi projek-projek pembangunan seperti Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan rancangan tebus guna tanah seluas 607 hektar yang dapat menyumbang kepada pembinaan infrastruktur di negeri itu. "Mungkin atas dasar itu, kerajaan Persekutuan rasa kerajaan negeri dah banyak hasil...akan tambah tanah, akan buat projek pembangunan dapat hasil untuk membangunkan negeri Pulau Pinang. Jadi tidak disenaraikanlah projek-projek (baharu) buat masa ini. "Saya yakin di masa depan, kalau projek itu sudah berjalan dan mungkin tidak cukup kewangan, kerajaan Persekutuan boleh tambah. Tapi buat masa ini tumpuan kerajaan Persekutuan adalah kepada Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan," katanya. Zainal Abidin mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang kesal apabila negeri ini seolah-olah dipinggirkan dalam Bajet 2016 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas. Antara lain, Bajet 2016 memperuntuk lebih RM29 bilion dikhaskan kepada Sabah dan Sarawak termasuk RM16.1 billion untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak dan RM12.8 bilion untuk LPB di Sabah. Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata negeri ini telah mempunyai dua jambatan dan lebuh raya selain Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah dibaik pulih. "Kini pembangunan di negeri-negeri lain pula harus diberi perhatian. Bagi kesejahteraan rakyat, semua rakyat di negeri ini terima (manfaat) termasuklah BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Semua rakyat Pulau Pinang dapat pelepasan cukai, sekolah, hospital pun dapat. "Projek yang diumumkan sebelum ini seperti projek membaik pulih Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bersalin Wanita tetap diteruskan walaupun ia tidak diumumkan dalam bajet kali ini," katanya. Terdahulu, Zainal Abidin mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim melancarkan penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (CDERT) peringkat negeri di sini, Isnin.