KUALA LUMPUR: Pembangkang mendakwa perbelanjaan melibatkan pesawat kerajaan iaitu Airbus Corporate Jetliner (ACJ320) yang digunakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh enam bulan dianggarkan berjumlah RM40.8 juta. Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan jumlah itu apabila pertanyaan berkenaan perbelanjaan tersebut tidak dijawab secara khusus di persidangan Dewan Rakyat. Naib Presiden PKR itu berkata, satu-satunya maklumat yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menjawab soalan tentang siapa yang menaiki, tujuan perjalanan dan kos yang ditanggung kerajaan bagi setiap perjalanan hanyalah jet itu telah digunakan sebanyak 42 kali sejak memulakan perkhidmatan pada April 2015. "Keengganan perdana menteri mendedahkan butiran perjalanan (ke mana dan tujuan apa) serta kos setiap perjalanan menunjukkan beliau tahu maklumat ini akan menimbulkan kemarahan rakyat. "Apabila kerajaan enggan mendedahkan maklumat kepentingan awam kerana melibatkan dana rakyat, ia menggambarkan perdana menteri sendiri mengakui bahawa perbelanjaan itu tidak berhemah sehingga ia perlu disembunyikan daripada rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin. Beliau berkata berdasarkan kontrak penyelenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) ia telah ditetapkan pada RM46 juta setahun. "Sejak mula beroperasi pada April 2015, saya menjangkakan kos OMM berjumlah RM23 juta. "Oleh itu, anggaran saya bahawa kos sewaan, operasi dan perjalanan melibatkan jet ACJ320 sejak mula beroperasi sehingga September 2015 adalah RM13.3 juta, kos OMM RM23 juta dan kos perjalanan luar negara berdasarkan purata tahunan adalah RM4.5 juta. "Jumlah perbelanjaan melibatkan jet ACJ320 yang cuba disembunyikan perdana menteri dianggarkan RM40.8 juta bagi tempoh enam bulan dari April 2015 hingga September 2015," katanya. Katanya ini bukan pertama kali soalan mengenai perbelanjaan melibatkan jet peribadi pimpinan kerajaan dibawa ke Parlimen. Sebelum ini kerajaan memberi jawapan mengenai kos yang ditanggung apabila ditanya oleh Nga Kor Ming dalam sidang Oktober 2013," katanya.