suria

Pejalan Kaki Maut Digilis Kereta Api

Gambar hiasan

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki maut digilis kereta api dan dijumpai dalam keadaan tertiarap di atas rel di Kilometer 755.25, lebih kurang 200 meter dari Danga City Mall, dekat sini tengah hari Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata R. Sundranlogan, 56, dipercayai sedang berjalan kaki seorang diri dan mahu melintas landasan ketika kejadian kira-kira 12 tengah hari itu.

"Mangsa dilanggar oleh kereta api Tren Ekspres Peninsular 21 yang ketika itu dalam perjalanan dari Hatyai ke Johor Baharu," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Sulaiman berkata mangsa yang berasal dari Simpang Renggam, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, perut, pinggang serta kedua-dua belah kaki.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar menggunakan laluan yang dikhas dan dibenarkan sahaja bagi melintasi landasan kereta api oleh pihak  Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Sesiapa melintasi landasan kereta api yang tidak dibenarkan untuk melintas atau menceroboh kawasan kereta api, didapati melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 126 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM500 dan jika enggan beredar apabila diarah berbuat demikian, boleh didenda sehingga tidak lebih RM1,000.

Kereta Api, Pejalan Kaki

Artikel Lain