suria

35 Kes Samun Kedai Serbaneka 24 Jam Dicatat Di Pahang

KUANTAN: Sebanyak 35 kes samun kedai serbaneka 24 jam dicatatkan di negeri ini sejak Januari hingga Oktober tahun ini dengan 68 peratus daripadanya dilaporkan berlaku antara pukul 1 hingga 8 pagi.

Ketua Siasatan Jenayah Pahang Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata daripada jumlah itu, polis berjaya menyelesaikan 24 kes atau 70.6 peratus melibatkan beberapa kumpulan antaranya Geng Black, Geng Ayat, Geng Ivan, Geng Chik Bob serta individu yang melakukan samun secara solo.

"Seramai 24 suspek berusia 20 hingga 40an telah diberkas dan ada di antaranya telah dituduh dan dijatuhkan hukuman penjara selain yang telah diambil tindakan mengikut Undang-Undang Pencegahan Jenayah (POCA).

"Polis percaya kedai serbaneka 24 jam menjadi sasaran mudah penjenayah terutamanya pada waktu tengah malam dan situasi ini menyebabkan pekerja premis itu berada dalam keadaan kurang selamat," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Sehubungan itu, polis menasihati pengurusan premis agar menutup pintu kedai selepas tengah malam dan hanya berurusan menerusi kaunter tingkap atau hanya membuka pintu setelah topi keledar dan penutup muka ditanggalkan pelanggan bagi tujuan keselamatan.

Sementara itu, dalam kejadian terbaru 6.25 pagi Sabtu lepas, sebuah kedai serbaneka di sini disamun seorang lelaki memakai topi keledar bertutup penuh dan bersenjatakan parang.

Raja Shahrom berkata ketika kejadian terdapat dua kakitangan sedang bertugas sebelum didatangi suspek yang kemudian bertindak mengacukan parang.

"Lelaki berkenaan mengugut mangsa mengeluarkan wang hasil jualan dan beberapa kotak rokok jika enggan dicederakan sebelum melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di premis berkenaan," katanya.

Menurut Raja Shahrom, dalam kes berasingan seorang pekerja wanita berusia 18 tahun di sebuah kedai serbaneka di sini, dicabul seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan, kira-kira 3.30 pagi Sabtu lepas.

Bagaimanapun suspek melarikan diri setelah seorang rakan setugas mangsa menjerit meminta tolong. - BERNAMA

samun, kedai serbaneka, Pahang

Artikel Lain