suria

Penumpang Dikehendaki Simpan Rokok Elektronik Dalam Bagasi - MAB

KUALA LUMPUR: Penumpang Malaysia Airlines Berhad (MAB) dikehendaki menyimpan rokok elektronik dalam bagasi bawaan mereka.

"Ini berdasarkan cadangan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) bagi semua syarikat penerbangan supaya memastikan rokok elektronik (juga dikenali sebagai vaporizer peribadi atau nikotin elektronik) dibawa penumpang secara eksklusif dalam kabin pesawat dan bukannya dalam bagasi daftar masuk.

"Bagaimanapun, penggunaan rokok elektronik tidak dibenarkan sama sekali dalam kabin," kata MAB dalam kenyataannya di sini, Selasa.

Pada Ahad lepas, bateri rokok elektronik di dalam beg yang diriba seorang penumpang, terbakar secara tiba-tiba selepas pesawat (Malindo Air) berlepas dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2) kira-kira 6.45 petang.

Penumpang itu dilaporkan mengalami kecederaan di paha dan tangan kirinya.

Menurut kenyataan itu, membawa rokok elektronik dalam kabin penumpang dapat memastikan sesuatu kemalangan itu, jika berlaku, dikesan dan ditangani dengan segera.

MAB berkata ia akan terus mengkaji dan menanda aras dasar keselamatannya dengan amalan terbaik antarabangsa.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahaman berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman mengenai insiden itu yang berlaku dalam Penerbangan OD1003 Malindo Air.
rokok elektronik, bagasi, MAB

Artikel Lain