KAJANG: Seorang warga Britain pada Selasa didakwa atas pertuduhan mengugut dan memecahkan cermin kereta dalam satu insiden di Lebuhraya Utara-Selatan, Ahad lepas. Mcgruer Kenneth George, 40, pengarah syarikat agensi pekerjaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini. Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas pemandu kereta Myvi, Dzulzalali Iqram Osman, 30, seorang jurutera, dengan niat untuk menyebabkan kecederaan. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta Myvi milik Moeznimanwaty Osman, 39, mengikut Seksyen 427 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Kenneth didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di KM 305 lebuh raya berkenaan arah Kuala Lumpur ke Seremban, antara 6.24 petang dan 6.30 petang pada 25 Oktober. Ketika rayuan, lelaki itu yang diwakili peguam Diar Isda Yasmin Ismail memohon mahkamah tidak mengambil pasportnya bagi membolehkannya menjalankan urusan syarikat seperti biasa. Diar Isda Yasmin berkata anak guamnya telah memberi kerjasama baik dengan hadir sendiri ke balai polis dan mahkamah tanpa perlu ditahan, malah telah menetap di negara ini sejak 2002. Majistret Aina Azahra Ariffin memutuskan supaya tertuduh menyerahkan pasport dan menetapkan wang jaminan RM11,000 dengan dua penjamin warga Malaysia untuk kedua-dua pertuduhan. Beliau turut menetapkan 4 Dis untuk sebutan. Tertuduh membayar jaminan tersebut. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya R. Siamalah.