suria

Pembinaan Rumah Mangsa Banjir Di Kelantan Dijangka Siap Jun 2016 - Mustapa

Mustapa (tengah) ketika hadir melawat rumah kekal mangsa banjir di Kampung Panjang, Gual Ipoh pada Julai lalu. Turut hadir Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (dua,kanan).

KOTA BARU:Kerajaan Persekutuan memberi jaminan pembinaan kesemua 1,759 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kelantan akan siap sepenuhnya antara Mac dan Jun tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tumpuan sekarang adalah untuk membina rumah yang belum siap berikutan kerajaan berjaya menyelesaikan beberapa isu yang melambatkan pembinaan rumah tersebut terutama pemilikan tanah untuk tapak rumah.

"Janji asal sebelum akhir tahun ini (kesemua rumah siap), kita tidak menyangka bahawa isu tanah begitu rumit sekali dan sekarang ini soal tanah untuk pembinaan rumah tersebut di semua jajahan terbabit sudah selesai," katanya kepada pemberita di sini Selasa malam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah tersebut terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai melibatkan tanah milik agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan individu.

Beliau berkata, setakat ini daripada 1,759 RKB itu, kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan 142 RKB manakala 301 RKB lagi dalam pembinaan dan 218 RKB di peringkat pra pembinaan.

Katanya, pada peringkat awal, dianggarkan 1,827 rumah musnah akibat banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas, bagaimanapun selepas semakan dibuat, hanya 1,759 rumah musnah dan layak dibina semula dengan RKB.

Sementara menunggu RKB siap, mangsa banjir yang kehilangan rumah ditempatkan sementara di rumah transit.

Mengenai 127 keluarga yang masih tinggal di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang, Mustapa berkata daripada jumlah itu, hanya 94 keluarga adalah mangsa banjir manakala 33 keluarga lagi bukan mangsa banjir.

Beliau berkata pihak PLKN membenarkan 94 keluarga itu tinggal di kem tersebut hingga Mac depan sebelum berpindah mendiami RKB manakala 33 keluarga bukan mangsa banjir diarah kembali ke rumah masing-masing.

Sementara itu 12 keluarga mangsa banjir yang masih tinggal di dalam khemah di Bandar Utama Gua Musang dijangka mendiami RKB selewat-lewatnya Mac depan. -- Bernama


RKB, Mustapa Mohamed, banjir

Artikel Lain