KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Tony Pua perlu letak jawatan jika mahu mencabar Arul Kanda Kandasamy untuk muncul secara langsung bagi menjawab dakwaan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau yang menyokong perdebatan antara Pua dan Presiden 1MDB itu berkata, ia bagi mengelak konflik berkepentingan kerana Pua yang juga setiausaha publisiti DAP terlibat dalam siasatan ke atas 1MDB. "Dia (Pua) kena letak jawatanlah. Kalau tidak nanti ada konflik berkepentingan. Dia menganggotai PAC. "Sebab dia penyiasat (kes 1MDB), jadi tak bolehlah. Dia mesti jadi neutral, kena letak jawatan dahulu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis. Cabaran Pua itu disambut baik oleh Arul namun turut meminta Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu terlebih dahulu meletak jawatan dalam PAC. "Dia (Pua) boleh keluar dari PAC dan debatlah. Kenapa perlu nak debat kalau dia masih anggota PAC," kata Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas. Bagaimanapun, Nazri menyifatkan tindakan Arul mencabar Pua meletakkan jawatannya dalam PAC bukan satu penghinaan terhadap Parlimen. "Bukan menghina Parlimen. Dia (Pua) yang hendak ajak debat. Arul kata boleh debat tapi dia berhentilah dari PAC dahulu, betullah tu. "Mana ada menghina. Banyak kali orang minta saya letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, tak menghina pun," katanya. Dilaporkan Pua berkata, beliau sendiri akan menjadi hos kepada program temubual itu dan bertanyakan soalan, selain memberikan 'seberapa banyak masa dan peluang yang ada untuk Arul menjawab soalan-soalan itu'. Pua adalah ahli PAC yang menyiasat 1MDB yang mana prosidingnya sebelum ini ditangguhkan selepas empat anggotanya, termasuk bekas pengerusi, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dilantik menganggotai barisan Kabinet dalam rombakan baru-baru ini.