KOTA BARU: Kanak-kanak Orang Asli, Noreen Yaakob, 10, yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab 11 (HRPZ11) sejak 9 Oktober lalu, dibenarkan pulang pada Khamis. Menurut bapa saudara Noreen, Henry Boy Angah, kanak-kanak itu dibenarkan keluar kira-kira pukul 5 petang. Murid SK Tohoi itu menerima rawatan di hospital berkenaan selama 21 hari bersama seorang lagi kanak-kanak Orang Asli yang ditemui selamat, Mirsudiar Aluj, 11. Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Nik Man Nik Ya, berkata bagaimanapun Mirsudiar masih perlu dirawat kerana menghadapi masalah jantung. "Jakoa mengatur kenderaan untuk membawa Noreen dan keluarganya ke Gua Musang selepas dibenarkan keluar dari hospital pada petang ini. "Mereka akan bermalam di Gua Musang pada malam ini (semalam) dan akan dibawa ke Kampung Penad, Pos Tohoi, pada pagi esok (hari ini)," katanya.