BUTTERWORTH: Satu kemalangan di mana seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dilanggar oleh sebuah kereta ketika melintas jalan telah menarik perhatian ramai netizen selepas seluruh episod kemalangan itu dirakamkan melalui kamera di papan pemuka kereta. Video selama satu minit itu telah dilihat lebih dari 73,000 kali dan mendapat lebih 700 komen. Walaupun Nur Adil Hakim Mohammad melambung ke udara dalam kejadian pukul 3.45 petang, Ahad lalu, keajaiban berlaku apabila murid tahun tiga SK Permatang Pauh itu hanya cedera ringan di kepala, pipi kanan dan kaki. Ibunya Rusmawati Abdul Rahman, 41, berkata Nur Adil pergi memancing tanpa pengetahuannya hari itu. "Saya terkejut apabila rakannya datang memberitahu saya mengenai kemalangan itu. "Alhamdulillah, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman," katanya, Rabu. Katanya Nur Adil telah dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya tetapi telah dibenarkan keluar pada hari berikutnya. "Dia masih bingung. Saya harap doktor akan melanjutkan cuti sakitnya sehingga dia pulih sepenuhnya," kata Rusmawati, sambil menambah Nur Adil adalah anak keempat daripada lima anaknya.