KUALA LUMPUR: Lelaki warga India yang menampar imam Masjid Negara semasa solat Jumaat bulan lepas, didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat. Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Shabir Ahmad Khan, 31, selepas dia mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu mencederakan imam, menganggu solat Jumaat dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh Pas Lawatan Sosial. Mahkamah juga memerintahkan Shabir, yang bekerja sebagai pemandu peribadi, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Dia membayar denda berkenaan. Pada 30 September lepas, Shabir yang didakwa atas tiga pertuduhan itu, pada mulanya mengaku bersalah namun pengakuannya tidak diterima selepas dia kelihatan keliru dengan pengakuannya. Mahkamah kemudian memerintahkan dia dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan mental. Mengikut pertuduhan pertama, Shabir, yang berasal dari Kashmir didakwa dengan sengaja mencederakan imam Masjid Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim, 39, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya. Bagi pertuduhan kedua dia didakwa dengan sengaja menyebabkan gangguan ketika solat Jumaat mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya. Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Masjid Negara, Jalan Perdana, di sini pada 1.30 tengah hari, 18 September lalu. Shabir juga didakwa tinggal di Malaysia walaupun Pas Lawatan Sosialnya telah tamat tempoh pada 17 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara minimum lima tahun atau kedua-duanya. Berdasarkan fakta kes, tertuduh menolak badan mangsa yang sedang mengetuai bacaan solat Jumaat pada rakaat pertama dan kemudiannya menampar pipi kiri mangsa dengan kuat hingga menyebabkan solat Jumaat terganggu sebelum diteruskan semula selepas tertuduh ditarik keluar oleh pengawal keselamatan. Terdahulu, peguam Sharen Rosli yang mewakili Shabir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum memandangkan anak guamnya telah disahkan mengalami masalah mental yang dikenali sebagai penyakit dwikutub iaitu penyakit mental psikotik yang memerlukannya mengambil ubat untuk meneruskan kehidupan. Beliau berkata sekiranya hukuman penjara dikenakan ia hanya akan menambah kemurungan anak guamnya. "Berdasarkan laporan dari Hospital Bahagia, tertuduh disaran mendapatkan rawatan susulan daripada seorang pakar psikologi di negara asalnya di Kashmir, " katanya sambil menambah anak guamnya itu telah insaf dan menyesal dengan apa yang dilakukan dan mahu menjalani rawatan pemulihan. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam. - BERNAMA