suria

Jerebu Beransur Pulih, Monsun Timur Laut Bermula

PETALING JAYA: Monsun Timur Laut dengan angin bertiup dari arah timur tidak lagi membawa asap jerebu dari Indonesia ke negara kita.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran angin kencang dengan kelajuan 50km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang datang dari selatan Vietnam.

"Angin kencang dijangka berterusan sehingga Selasa.

"Angin kencang dan laut bergelora amat berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," demikian menurut kenyataan dalam laman web jabatan itu.

Kejadian ribut petir dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan, Sarawak dan Labuan.

Menurut jabatan itu, hujan dijangka berterusan di pantai timur Semenanjung dan Sabah di sebelah pagi pada minggu depan disusuli ribut petir pada waktu petang di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pihak berkuasa berkaitan telah mengadakan pertemuan untuk membincangkan langkah-langkah mengatasi banjir pada Khamis.

Katanya, sebanyak 5,161 pusat pemindahan banjir telah bersiap sedia dan akan menempatkan kira-kira 1.5 juta mangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan akan membantu petani memindahkan binatang ternakan, hasil pertanian, mengalihkan jentera dan sumber-sumber lain ke lokasi selamat sekira banjir melanda ladang mereka.

Antara negeri yang terjejas teruk akibat banjir pada tahun lalu adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.

Ahmad Shabery berkata, jumlah kerugian dalam sektor pertanian dianggarkan bernilai RM297.83 juta, RM106.8 juta kerosakan infrastruktur dan RM152.97 juta kerugian hasil tanaman.

monsun timur laut, jerebu, banjir

Artikel Sebelum

Artikel Lain