PETALING JAYA: Indonesia menetapkan gaji bulanan minimum untuk pembantu rumah di Malaysia pada RM900 dan merancang untuk menaikkan ia kepada sekurang-kurangnya RM1,000. Timbalan Duta Besar Indonesia Ke Malaysia, Hermono berkata gaji minimum RM900 akan berkuatkuasa pada 20 Oktober ini dan melibatkan semua pembantu rumah Indonesia yang baharu datang ke Malaysia selepas tarikh itu. "Ia mungkin naik lagi berdasarkan gaji minimum di Malaysia yang ditetapkan pada RM1,000," katanya kepada The Star. Beliau tidak menyatakan tempoh untuk kenaikan tersebut tetapi mengesahkan sebuah agensi kerajaan Indonesia telah menulis surat kepada kedutaan meminta gaji dinaikkan kepada RM1,000. Surat daripada Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia Di Luar Negeri - salinan yang turut dilihat The Star - meminta agar kedutaan melaksanakan gaji minimum RM1,000. Surat bertarikh 15 Oktober itu turut meminta kedutaan untuk tidak membenarkan majikan membuat potongan dari gaji pembantu rumah mereka. Buat masa ini, majikan dibenarkan membuat potongan RM1,800 daripada gaji pembantu rumah dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Jumlah tersebut adalah wang pendahuluan yang dibayar oleh majikan untuk menampung sebahagian kos yang perlu ditanggung pembantu rumah mereka termasuk latihan. Ketika ditanya mengenai surat tersebut, Hermono berkata perkara itu dan beberapa butiran lain sedang diperingkat perbincangan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata pegawai kanan dari kedua-dua negara masih belum membuat keputusan mengenai gaji minimum pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) kali ke-11 di Jakarta pada 15 Oktober lalu. "Ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada mesyuarat JWG kali ke-12 yang akan diadakan di Putrajaya dalam masa terdekat," katanya. Pada minggu lalu, Richard berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menaikkan sedikit gaji pembantu rumah dan beliau akan membuat pengumuman mengenai kadar baharu itu apabila keputusan dicapai. Pada Mei lalu, Indonesia menghantar satu memorandum kepada kerajaan meminta agar gaji minimum pembantu rumah dari negara itu dinaikkan kepada RM1,200. Walaupun mendapat bantahan di kalangan rakyat Malaysia, cadangan itu juga dikritik pakar ekonomi tempatan yang berkata Malaysia sudah berdepan aliran keluar tahunan sebanyak RM5 bilion ke Indonesia berdasarkan gaji minimum itu. Daripada 320,000 pembantu rumah warga asing di negara ini, seramai 230,000 merupakan warga Indonesia. Memorandum Persefahaman mengenai pengambilan rumah warga Indonesia yang ditandatangani pada Mei 2011 meliputi tempoh lima tahun dan membenarkan gaji minimum ditentukan kuasa pasaran. Pada masa lalu, majikan di Malaysia biasanya membayar gaji sebanyak RM800.