suria

Umno Kumpul Bukti Sebelum Buat Keputusan Terhadap Tujuh Pemimpin - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) bergambar sebelum merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Taklimat Isu-isu Semasa pada Sabtu. Turut hadir Hishammuddin (kanan) dan Mustapha Mohamed (kiri). - fotoBERNAMA

KOTA BARU: Sekretariat Umno akan mengumpul bukti secukupnya sebelum mengambil sebarang keputusan terhadap tujuh pemimpin yang didakwa mengkritik parti secara terbuka, kata Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata setelah semua bukti itu lengkap, ia akan dikemukakan kepada pengurusan tertinggi parti sama ada Jawatankuasa Disiplin atau Majlis Tertinggi.

"Saya serahkan atas kebijaksanaan Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) untuk mengumpulkan semua butiran terperinci terhadap individu yang disebutkan itu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Taklimat Isu-isu Semasa di sini, Sabtu.

Majlis yang dihadiri lebih 2,000 anggota Umno pelbagai peringkat itu turut disertai Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Tengku Adnan sebelum ini dilaporkan berkata satu Jawatankuasa Khas sedang menjalankan siasatan terhadap tujuh pemimpin Umno berhubung kenyataan terbuka mereka yang boleh menjejaskan parti.

Mengulas mengenai saranan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berhubung kedudukan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno, Ahmad Zahid berkata beliau menghormati pandangan itu.

"Saya hormati pendapat beliau tetapi terserahlah kepada kepimpinan untuk terima analisis beliau dalam bentuk tindakan atau sebaliknya.

"Saya yakin banyak lagi pendapat-pendapat yang sama atau berbeza dengan beliau dan kita perlu meneliti semua pendapat-pendapat itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata perpaduan dalam kalangan anggota Umno adalah amat penting ketika ini agar parti keramat itu terus berada di garisan hadapan untuk menerajui kepimpinan negara.

Zainuddin dalam entri beliau di zamkata.blogspot.my pada Jumaat berkata Muhyiddin tidak boleh dipecat daripada jawatan timbalan presiden Umno kerana dipilih oleh Perhimpunan Agung tetapi pemecatannya sebagai anggota Umno secara automatik akan menggugurkannya daripada jawatan penting itu.

Ditanya mengenai majlis pada Sabtu, Ahmad Zahid berkata ia bertujuan memberi penjelasan berhubung beberapa isu semasa kepada pemimpin di peringkat akar umbi.

Ahmad Zahid Hamidi, Umno

Artikel Lain