KUALA LUMPUR: Tiada keperluan terdesak bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil ahli perniagaan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho bagi menghadiri prosiding siasatan berhubung dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad. Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata jawatankuasa itu tidak menyenaraikan Low sebagai saksi yang perlu disegerakan dalam siasatannya. "Setakat ini belum ada tarikh nak panggil Jho Low. Kita masukkan beliau sebagai personaliti, bukan saksi, (sebaliknya) individu yang kita perlu panggil, ia bukan mendesak," katanya pada sidang media di sini, Isnin. Mengulas mengenai prosiding siasatan terhadap 1MDB yang tertangguh sejak Julai lalu, Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata pihaknya tetap akan meneruskan rancangannya sebelum ini. Katanya jawatankuasa di bawah Parlimen itu akan memanggil Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi, serta beberapa lagi pengarah syarikat berkaitan 1MDB. "Kita akan teruskan prosiding dengan memanggil mereka yang ditetapkan sebelum ini, seperti CEO dahulu, Arul, Shahrul, dan pengerusi-pengerusi mereka. "Tarikh kita akan tentukan secepat mungkin,” katanya.