KUALA LUMPUR: Sembilan premis judi di Nilai, Negeri Sembilan dan Klang diserbu manakala 23 pengendali dan pekerja ditahan polis dalam Op Dadu pada Isnin. Operasi empat jam bermula dari pukul 4.15 petang oleh Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/ Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman itu menahan semua suspek berusia antara 23 dan 41 tahun. Selain pengendali dan pekerja itu, seramai 38 kaki judi termasuk enam warga Indonesia turut ditahan selain merampas 136 komputer dan wang tunai sejumlah RM13,524. "Kita mengadakan risikan hampir dua minggu untuk mengenal pasti semua premis ini, dan selepas itu baharu serbuan dibuat," kata Ketua Penolong Pengarah STAGG, SAC Khairi Ahrasa. Kegiatan perjudian yang dijalankan di dalam premis yang berkunci turut gagal memperdayakan pasukan STAGG. Menurut Khairi ada antara premis itu baru sahaja beroperasi antara dua minggu dan tiga bulan. "Kesemua premis berkunci dan dikawal melalui kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan kehadiran polis dan pihak berkuasa," katanya. Khairi berkata pengendali dan pekerja yang ditahan itu terdiri daripada lapan wanita warga Indonesia, masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Bangladesh manakala baki 11 lelaki dan dua wanita adalah warga tempatan. Bagaimanapun, beliau percaya semua sembilan premis itu tidak dikendalian oleh satu sindiket sahaja. Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memuji kejayaan STAGG itu dalam catatan terbarunya di Twitter dan Facebook. "Syabas STAGG @PDRMsia, tadi tangkap 38 orang rampas 136 komputer dari sembilan pusat judi di Nilai dan Klang. Go PDRM Go," katanya. - BERNAMA