suria

Kandungan TPPA Dibentang Kepada Rakyat Dua Minggu Lagi

Ong Ka Chuan.

MELAKA: Isi kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata kerajaan telah menyelesaikan proses rundingan TPPA itu dengan pihak terlibat dan langkah seterusnya ialah membentangkan butiran perjanjian tersebut kepada rakyat.

Selepas itu, kerajaan akan membawanya ke Parlimen pada satu persidangan khas pada Januari tahun depan bagi membolehkan perjanjian berkenaan dibahas dan kemudian diundi kelulusannya oleh 222 anggota parlimen.

"Anggota parlimen pada masa itu akan membuat keputusan sama ada kita akan menyertai TPPA atau tidak, apabila 112 atau lebih anggota parlimen setuju barulah TPPA itu akan diluluskan.

"Sebelum ini, keputusan dibuat di peringkat kabinet, tetapi TPPA adalah keputusan penting. Maka segala proses ini adalah cara kita kembalikan keputusan ke tangan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Terdahulu, beliau melawat Pejabat Cawangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Negeri Melaka, yang turut dihadiri Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka, Datuk Lim Ban Hong.

Rundingan TPPA yang pertama kali diadakan pada 2005 melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.

Ong berkata TPPA tidak akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barang di negara ini kerana kemasukan barangan dari luar negara melalui perdagangan bebas TPPA itu akan memberikan lebih banyak pilihan barangan kepada rakyat.

"Saya lihat pilihan lebih banyak ini akan memberikan kelebihan kepada pengguna kerana tentunya pengguna akan dapat pilihan beli barangan yang lebih murah dan akan wujud persaingan antara pengeluar menghasilkan barangan murah dan berkualiti untuk pengguna," katanya.

Ditanya tentang kesan TPPA kepada pengeluar tempatan, beliau berpendapat pengeluar tempatan akan memperoleh persaingan sihat dengan pengeluar luar negara dalam pasaran tempatan, juga memudahkan mereka memasarkan produk ke pasaran luar negara.

"TPPA juga akan menarik pelaburan langsung asing yang lebih banyak, jika kita tidak menyertai TPPA sekarang, mungkin peluang kita akan terjejas dan kehilangan daya saing berbanding jiran kita seperti Singapura," katanya.

Sementara itu, Ong memuji Melaka yang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM6.2 bilion untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Saya percaya jumlah itu akan meningkat terutamanya dengan kerjasama erat Melaka dan wilayah Guangdong di China yang menandatangani perjanjian kerjasama baru-baru ini," katanya. - BERNAMA

TPPA, Ong Ka Chuan

Artikel Lain