ALOR SETAR: Seorang wanita berusia 38 tahun yang ditahan kerana didakwa membuang bayinya yang baru lahir ke dalam sebuah mesin basuh di sini diberi jaminan sementara polis sementara menunggu laporan DNA. Wanita tersebut ditahan pada 29 Oktober lalu dan direman selama empat hari sehingga Isnin. Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri pada 1 November. "Tiada pendakwaan sehingga laporan DNA diperolehi. Sampel darah bayi, suspek dan suaminya telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia," kata Muhamad Halim. Menurut laporan bapa mertua kepada wanita tersebut, Zainol Hamid, sedang menonton televisyen di dalam rumah berkenaan semasa terdengar bunyi tangisan bayi pada malam Selasa lalu. Beliau mendapati tangisan bayi itu dari mesin basuh. Bayi tersebut ditemui dalam keadaan tidak berbaju dan masih bertali pusat.